Sahabat Beruang Madu has now been rebranded as Sahabat Beruang Matahari
Sahabat Beruang Madu bersama Sahabat Raja Rimba menanam pokok di lintasan hidupan liar
Sebagai sebahagian program hidupan liar dan kemasyarakatan, kumpulan Sahabat Beruang Madu Lipis bersama-sama kumpulan Sahabat Raja Rimba pada 15 April telah menjayakan program penanaman pokok di Sungai Yu Eco Viaduct, Merapoh. Kawasan ini merupakan lintasan hidupan liar yang penting, terutama untuk Harimau Malaya, memandangkan habitat asal haiwan ini kini terpisah oleh lebuhraya luas dan merbahaya. Program Penanaman Pokok Sahabat Beruang Madu Bersama Komuniti Merapoh dijalankan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) bersama-sama MyCAT dan agensi lain. Tujuan program bersama ini adalah untuk menyemarakkan semangat menangani konflik manusia-hidupan liar serta peluang untuk berkongsi maklumat dan pengalaman antara Sahabat Beruang Madu dan Sahabat Raja Rimba. Antara yang memberi taklimat, Mohd Zani Ibrahim dan Zariman Abdullah (wakil Sahabat Raja Rimba), dan Mohd Radzi Ramli (wakil Sahabat Beruang Madu Lipis), serta wakil MNS, Nabilah Jamaludin dan Anisah Ahmad. Sahabat2 juga diberi benih pokok Merbau sebagai permulaan projek nurseri tanaman, dan diakhir sesi, mereka berpeluang melawat Gua Jinjang Pelamin, antara kawasan semulajadi yang sangat menarik di Merapoh.
Jaringan Sahabat Beruang Madu lengkap di Wilayah Trolak
Jaringan komuniti warga prihatin hidupan liar yang dirancang sebahagian aktiviti Kesedaran & Pelajaran Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dilengkapkan pada bulan Mac 2017 dengan penubuhan kumpulan Sahabat Beruang Madu Wilayah Trolak. Di akhir sesi bengkel dua hari di Felda Tawai 1, Gerik, peserta2 tersebut menjadi kumpulan kelima Sahabat Beruang Madu di seluruh Malaysia. Kumpulan Sahabat lain adalah dari Wilayah Terengganu, Lipis, Kalabakan dan Mersing, yang mula bertapak sejak Disember 2015. Jaringan Sahabat Beruang Madu diwujudkan bagi membabitkan masyarakat umum dalam konservasi alam dan hidupan liar negara ini. Wilayah yang dipilih telah merekodkan konflik manusia dan hidupan liar, dan juga merupakan sebahagian dari projek konservasi hutan yang lebih luas, iaitu Central Forest Spine (Semenanjung Malaysia) dan Heart of Borneo. Program Konservasi Beruang Madu dijalankan oleh Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sahabat bertapak di Mersing
Jaringan Sahabat Beruang Madu kini semakin lebar dengan penubuhan komuniti wira hidupan liar bagi Wilayah Mersing, Johor. Sahabat Beruang Madu Mersing, kumpulan keempat selepas penubuhan jaringan di Lipis, Terengganu dan Lahad Datu, Sabah, dilancarkan oleh Mohd Nazlan Bakar, Pengurus Besar FGV Wilayah Mersing, di akhir sesi Bengkel dan Pelancaran pada 21&22 Disember 2016. Beliau juga menyerahkan sijil penyertaan kepada hadirin, yang termasuk warga Felda, FGV dan Perhilitan. Sahabat Beruang Madu merupakan jaringan bagi membabitkan masyarakat umum dalam konservasi alam dan hidupan liar negara ini. Ia adalah sebahagian Program Konservasi Beruang Madu selama lima tahun yang dijalankan oleh Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sepanjang bengkel, peserta diberi taklimat mengenai Program Konservasi Beruang Madu dan kempen Save The Sun Bear, oleh:
K. Ilangovan, FGV Head of Sustainable Technical, Environmental & Sustainability Division, mengenai pengeluaran minyak sawit dan kesedaran alam sekitar.
Balu Perumal, Ketua Bahagian Konservasi MNS, mengenai haiwan terancam di Malaysia dan konsep penglibatan masyarakat di dalam program konservasi.
Mohd Noor Ismail, Pegawai Kehidupan Liar, Pusat Menyelamat Hidupan Liar Sungkai, mengenai perlindungan haiwan di bawah undang-undang negara, cara-cara mengatasi konflik antara manusia dan haiwan, serta proses rehabilitasi beruang madu.
Noor Nabilah Nazri dari UKM, mengenai sistem 4R (rescue, receive, rehabilitate, release) yang dijalankan serta pemantauan beruang madu yang telah dilepaskan melalui kolar GPS.
Di akhir bengkel, peserta menyertai jaringan komuniti sukarelawan wira hidupan liar dan juga memilih jawatankuasa Sahabat Beruang Madu Wilayah Mersing.